top of page
Search

Amblyopia (Lazy Eyes/Mata Malas)




Amblyopia juga Lazy Eyes


Orang Melayu gelar 'Mata Malas'.


Apa yang malas?


Menurut research dari New York University Center of Neural Science, 'Amblyopia' adalah hasil daripada masalah perkembangan dari bahagian otak.


Laluan saraf mata ke otak tidak berkembang sebaiknya dalam tempoh tumbesaran semasa kanak-kanak.


Kes ini buat saya teringat kepada seorang klien berumur 9 tahun. Di sebabkan terlalu risau dengan keadaan mata anaknya, si ibu telah berjumpa dengan seorang doktor pakar mata di Kuala Terengganu. Hanya untuk dapatkan pengesahan masalah mata anak kesayangannya.


Ternyata benar, anaknya disahkan Amblyopia pada mata kanan.



Amblyopia ini apa?


Tahap penglihatan salah satu mata kabur dan tetap kabur walaupun diberi pakai cermin mata dengan power terbaik. Huruf paling kecil bersaiz normal, tidak dapat dilihat dengan mata 'amblyopia'. Contohnya, mata kanan kabur (amblyopia) manakala mata kiri jelas.


Atas nasihat doktor tersebut, anaknya dirujuk ke Astana Optometri & Klinik Vision Therapy untuk meneruskan proses rawatan dengan cara Visual Theraphy (VT). Antara ikhtiar yang dicuba.


Secara luarannya, mata anak beliau kelihatan normal. Ada dua mata seperti orang lain. Cuma, mata kanan akan sedikit lari (arah mata menjauh dari hidung) pada jarak dekat.


Jika pandang pada jarak jauh, semua ok. Nampak normal. Kerana penglihatan banyak dibantu oleh mata kiri. Ya, beban pada yang kiri.


Ini yang menyebabkan pada masa tertentu amat sukar untuk anaknya belajar. Si ibu turut mengaku prestasi akademik makin jatuh jika dibanding dengan tahun lepas.

.

.

Apa punca 'Amblyopia' ?



1) 'Strabismus' - Salah satu mata lari/Juling setiap masa.


Keadaan mata memang begini sejak lahir. Boleh jadi satu mata lari ke arah dalam/ mendekati hidung (Esotropia) dan juga arah luar/ menjauhi hidung (Exotropia). Otak terpaksa memilih hanya satu mata untuk diguna pada satu-satu masa.




2) 'Anisometropia' - Perbezaan power ketara antara mata kiri dan kanan.


Apabila power lebih dari 2.00 Diopter antara kedua mata, ini akan ganggu tahap mata melihat. Misalnya mata kanan power +4.00 manakala kiri +0.25. Jadi, mata kiri akan lebih digunakan dan 'dikenali' oleh otak. Akhirnya, mata kanan akan terbiar dan jadi 'Lazy Eye'. Otak cuma mahu berkawan dengan mata kiri.


3) Ada halangan fizikal terhadap mata sejak lahir dan lewat dapat rawatan.


Contohnya halangan seperti katarak/selaput atau kelopak mata separa tertutup. Apabila ada halangan begitu, cahaya tidak dapat masuk ke dalam mata secara fokus terus ke retina (saraf mata).


Oleh itu, otak yang mengawal bahagian penglihatan tidak dapat berkembang matang dengan baik.

.

Apa kesan kepada anak atau pelajar jika ada 'Amblyopia' ?

Antaranya :


+ Proses belajar dalam kelas boleh terganggu. Kerana otak telah pilih mahu guna hanya satu mata. Walaupun secara zahir ada dua mata. Akhirnya mata mudah penat pada penghujung hari.


+ Aktiviti sukan terutamanya yang melibatkan koordinasi mata dan tangan agak lemah. Contohnya seperti bola sepak, bola jaring, badminton dan tenis.


Mahu tangkap bola tetapi terlepas. Tersasar. 'Timing' tidak betul walaupun rasa tangan sudah ayun tepat masa.


+ Keyakinan diri semakin luntur. Bagi sesetengah pelajar, apabila tahap penglihatan tidak sama dengan rakan lain, mula ada rasa kekurangan dalam diri. Kekurangan skill sukan dan prestasi akademik buat diri rasa makin rendah diri dari sepatutnya.


Jika dari usia muda mereka sudah ada pemikiran begini, emosi boleh tergganggu apabila semakin dewasa.

.

Saya kongsikan tanda-tanda kemungkinan anak ada 'Lazy eyes'. Cuba perhatikan jika mereka :


+ Selalu terlanggar, tersepak dan terpijak barang atas lantai tanpa sengaja. Tidak perasan katanya. Sebenarnya, mereka tidak dapat anggar jarak dengan tepat. Rasa sudah langkah besar, cuba elak dari terlanggar. Namun tetap tersasar. Aduh sakit kaki.


+ Kerap senget atau teleng kepala pada arah tertentu ketika membaca buku, menonton tv atau semasa bermain. Ini menunjukkan ada salah satu mata lebih kerap digunakan


Boleh juga kerana posisi janggal ini disukai supaya mereka dapat elak daripada simptom lain muncul. (Contohnya mahu elak perkataan jadi dua/diplopia). Mereka sanggup buat begitu untuk mudahkan cara kerja. Namun perlu ingat, ini suatu tanda tidak normal atau pun 'habit'.


+ Kerap kedip-kedip mata sepanjang hari. Cuba perhatikan, semasa aktiviti melibatkan tengok jauh/ tonton tv dan juga dekat seperti membaca. Mereka jadi begitu untuk betulkan semula kedudukan mata. Mata tidak boleh ditolak dari luar untuk kembali lurus. Cara kedip-kedip sedikit membantu bagi yang boleh.


+ Cuba perhatikan dalam suatu tempoh, ada atau tidak sebarang perubahan prestasi akademik mereka. Biasanya, bagi anak yang hilang minat belajar, mereka susah fokus sewaktu ulang kaji pelajaran mahupun di sekolah. Tanpa mengetahui, mata juga boleh jadi punca.


Di Astana Optometri & Klinik Vision Therapy, Paka Terengganu anak-anak digalakkan membuat Ujian Visual Stress bagi mengetahui status sistem penglihatan mereka.


Adalah lebih baik, bawa anak periksa mata dengan Optometris bertauliah. Untuk pastikan adakah tanda-tanda di atas disebabkan 'Lazy Eyes' atau masalah mata lain.


Sebagai ibu bapa, apa langkah-langkah bijak untuk dilakukan?


+ Pantau tingkah laku anak serta perkembangan mereka sewaktu membesar. Terutama dalam tempoh 'critical period' (dari berusia 6 bulan hingga 10 tahun)


+ Bawa anak periksa mata secara rutin. Setiap 6 bulan bagi berumur bawah 12 tahun. Setahun sekali bagi umur 12 tahun hingga 18 tahun jika tiada isu kesihatan mata.


Tidak semestinya perlu tukar cermin mata setiap tahun. Periksa secara berkala ini penting untuk tahu 'pattern' kenaikan dan tahap stabil 'power' mereka jika ada.


+ Dapatkan bantuan atau rawatan segera daripada individu bertauliah jika perasan sesuatu tidak kena pada mata anak.


Besar harapan kami agar lebih ramai orang tahu bahawa mata bukan sekadar rabun sahaja.


Mata adalah permata bagi setiap orang. Terutamanya kanak-kanak. 70% proses pembelajaran adalah daripada deria penglihatan.


Ada cara boleh dibantu jika masalah mata dapat dikesan awal. Lebih awal ia dikesan, lebih mudah ia dirawat. Kerana otak kita mempunyai sifat 'neuroplasticity'. Boleh dirangsang agar sensitiviti mata makin meningkat.


Agar kedua mata boleh berfungsi dengan lebih baik. Perjalanan mereka masih jauh.


189 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page